Sunday, 11 June 2017

Petanda Awal Kanser Dan Langkah-langkah Pengurangan Risiko



Pencegahan risiko kanser boleh dilakukan dengan mengubah gaya dan tatacara kehidupan.

Perhatian perlu diberi pada keadaan badan, perasaan tahap kesihatan diri dan juga bentuk serta rupa struktur badan. Ujian saringan juga perlu ditekankan bagi mengesan kanser dengan lebih awal.

Sel-sel normal yang membina tisu badan mengalami tumbesaran, membahagi serta penggantian secara teratur dan tenteram. Kadangkala sel-sel tua yang sepatutnya digantikan, masih meneruskan tumbesarannya. Pertumbuhan ini mungkin tidak teratur dan bercelaru, akhirnya mereka menjadi luar kawalan dan seterusnya bertukar pada ketumbuhan yang ganas (malignan) ataupun yang tidak ganas (benign).

Ketumbuhan yang tidak ganas (benign) tidak merebak ke bahagian lain dan lazimnya tidak membimbangkan. Pembedahan terpaksa dilakukan jika saiz ketumbuhan terlalu besar dan memberi tekanan kepada organ-organ berhampirannya.

Ketumbuhan yang ganas pula (malignan), akan menakluk, merosakkan dan merebak pada organ-organ berhampiran dan juga organ yang jauh serta boleh menyebabkan ketumbuhan baru di tempat lain.

Faktor keturunan (kehadiran gen-gen tertentu) juga boleh menyebabkan ketumbuhan berlaku selain pendedahan kepada sinar-

sinar tertentu, bahan kimia, virus dan bermacam jenis faktor persekitaran lain.

Jenis-jenis kanser bergantung pada bahagian anatomi badan yang terlibat seperti paru-paru, payudara, kulit, ovari, rahim, pangkal rahim, faraj, vulva, usus besar dan rektum.

Semua penyakit boleh dicegah atau dirawat sekiranya pengesanan dapat dilakukan pada peringkat awal.

Lazimnya terdapat tanda-tanda awal yang harus diamati dan diperhatikan. Juga sebagai satu bentuk pencegahan, golongan wanita dinasihatkan supaya menjalani penyaringan secara berkala untuk mengenal pasti kanser di peringkat awal.



Petanda awal

Di antara petanda-petanda awal kanser pada bahagian badan berkenaan adalah perubahan pada tabiat kebiasaan pundi kencing dan juga usus besar.

Selain itu, luka-luka yang tidak sembuh, pendarahan ataupun discaj yang tidak pernah dialami, penebalan ataupun tongkol-tongkol pada payudara ataupun bahagian kulit yang lain serta perubahan pada tahi lalat atau mana-

mana tompok kulit juga mungkin menjadi petanda awal kanser tertentu.

Pesakit juga perlu peka untuk ujian masalah kesusahan menelan serta keabnormalan pencernaan makanan atau minuman selain batuk yang tidak hilang dan juga perubahan pada suara.

Perlu diingat bahawa ini bukanlah petanda mutlak kanser tetapi hanya kehadiran gejala berkenaan sepatutnya dirujuk kepada doktor.

Kesakitan biasanya bukan tanda-tanda awal kanser. Walau bagaimanapun, jangan ditunggu sehingga kesakitan menjelma, barulah rujukan mahu dibuat kerana ketika itu mungkin sudah terlambat.

Secara umumnya, terdapat beberapa cara untuk mengurangkan risiko kanser terhadap diri anda seperti:

- Tidak merokok atau berhenti merokok

- Kurangkan pengambilan makanan dengan lemak tepu atau lemak trans

- Banyakkan makanan berserat tinggi

- Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala

- Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari

- Sekiranya anda berkulit cerah atau kurang pigmen kulit, hadkan pendedahan pada cahaya matahari

- Tumpuan dan perhatian pada sebarang perubahan pada badan anda

- Jangan amalkan tatacara serta gaya hidup seksual secara bebas

- Amalkan ujian tertentu yang patut dilakukan pada umur serta julat tahun tertentu

- Kurangkan pengambilan minuman beralkohol.


No comments:

Post a Comment

Bagaimana Kita Boleh Hibah Tanpa Simpanan

Fungsi hibah. Fungsi utama hibah adalah untuk memberikan harta kepada sesiapa yang dikehendaki tanpa boleh dicabar oleh waris yang lai...